Wednesday, January 5, 2011

Alunan Asmara 9,10

9
“Hi, good morning mama, papa.” Tena melemparkan sebuah senyuman yang dirasakannya paling manis sekali.
Puan Diana membalas senyuman puterinya sambil menghulurkan secawan susu kepadanya. En. Charles hanya menjeling wajah anaknya sambil matanya masih tertancap kepada surat khabar yang sedang dibacanya. Begitulah kebiasaannya setiap pagi sebelum menuju ke pejabat.
“Ehmm…mama, Tena balik lewat sikit tengahari nanti. Tena nak pergi library dulu.” Tangannya pantas menyedok nasi lemak yang terhidang ke dalam pinggannya.
“Ok, sayang. Jangan balik lewat sangat okey. Mama masak ayam goreng berlada tengahari nanti.” Puan Diana lega. Dia dapat merasakan sesuatu yang indah akan terjadi dalam keluarganya.
“Wah, sedapnya. Alamak, Tena dah lewat ni, Tena pergi dulu. Bye mama, papa.” Tena berlari menuju ke arah keretanya. Diseluknya poket baju kurungnya tetapi kunci keretanya entah di mana. Seingatnya, kunci itu sudah berada dalam koceknya tadi.
“Tena lupa benda ni?” Puan Diana menghayun benda yang dicarinya dari muka pintu.
Tena tersenyum menyedari kealpaannya.
“Thanks mama. Tena ni dah nyanyuk agaknya. Okey, bye.” Dihidupkannya kereta Waja kesayangannya itu dan dengan penuh berhati-hati, dia memandu keluar dari perkarangan rumah.
Hatinya masih berbunga kegembiraan. Dia sudah mendapat azam dan semangat baru.
- Aku akan buktikan pada papa, mama, Miky, pada semua orang yang Tena bukan gadis sebarangan. Tunggu dan lihat sejauh mana Tena akan melangkah.
Kejayaan semakin hampir.

“Hai, Na. Boleh kita keluar petang nanti?” Didix mengambil tempat di sebelah Tena yang masih leka menyalin nota di papan tulis.
“Pergi mana?” Kepalanya tidak dialih sedikit pun dan fikirannya masih berlegar-legar mentafsir makna semua perkataan yang berserabut di dalam buku notanya itu.
“Wisma.” Didix cuba menarik perhatian gadis pujaannya itu.
“Sorry, petang ni aku ada tuisyen kimiala.”
“Aik, rajin semacam je nampak. Apa mimpi kau dua tiga hari ni? Biasanya kau tak pernah-pernah macam ni dank au tak pernah menolak permintaan aku.” Suara Didix tegang.
“I’m so sorry okay. Maybe next time.” Tena cuba memujuk.
“Tak pelah kalau orang dah tak sudi.” Didix terus bangun dari kerusi yang didudukinya dengan kasar sehingga kerusi yang tidak bersalah itu terpelanting ke belakang. Dia terus melangkah ke arah kawan-kawannya yang masih terkejut dengan tindakannya sebentar tadi.
Tena hanya mampu memandang dari jauh.
- Maafkan Tena.

“Helo, aunty. Tena ni. Didix ada?”
Kedengaran satu keluhan berat di hujung talian. Lama sungguh jawapan yang ditunggu terluah.
“Maafkan aunty Na. Didix belum balik.”
Tena terkejut.
“Mana dia pergi? Dah pukul sebelas malam ni aunty. Esok ada trial paper untuk Biologi.” Rungutnya.
“Kenapa Tena tak try call handset dia?”
“Dah tadi tapi engaged aje.” Sejujurnya, semenjak beberapa kali menolak ajakan Didix untuk keluar melepak di tempat kebiasaan mereka, Tena masih tidak berani menghubunginya. Dia tahu Didix terasa hati.
“Apa sebenarnya yang terjadi Na?” Puan Suzi hairan kerana selama ini dia tidak pernah melihat anaknya berperangai sebegitu semenjak berkawan dengan Tena. Walaupun dia masih dengan perangai lamanya selalu melepak di tempat membeli belah di bandar Kuching, dia sudah tidak berkawan dengan budak-budak jalanan dan pulang lewat malam lagi sehinggalah beberapa hari ini. Dia sudah dapat mengagak ada sesuatu yang telah terjadi di antara mereka berdua.
“Entahlah aunty. Didix tak ada cerita apa-apa kat aunty?”
“Tak ada pulak. Kamu berdua gaduh ke?” Puan Suzi cuba mengumpan.
“Tena pun tak tahu apa masalah sebenarnya aunty. Semenjak dua tiga hari ni Didix lansung tak tegur atau jumpa Tena pun. Dia merajuk kot.”
“Merajuk apa pulak sampai buat perangai macam ni?”
“Aunty tak pelah. Hari pun dah larut malam ni. Good night aunty.”
“Good night.”
Tena menutup terus handphonenya untuk mengelakkan gangguan semasa tidur.
- Kenapa dengan Didix ni? Tak semena-mena buat hal. Takkan lah gara-gara aku tak nak ikut dia hari tu buat dia bengang sangat?

Tena terkejut apabila terdengar orang menghempaskan beg ke atas meja. Tumpuannya beralih ke arah insan itu.
- Didix
Tena terus menutup bukunya lalu menghampiri Didix yang sudah pun duduk di atas kerusinya. Tena duduk berhadapan dengannya.
“Dix, Tena nak bincang sesuatu dengan Dix nanti. Boleh tak?”
“Apa dia? Cakaplah.” Jawapan kasar dari mulut Didix mengejutkan Tena.
“Sini tak sesuai. Kita jumpa time rehat nanti.” Dia terus bangun dan berlalu pergi.
- Sabarlah wahai hati. Api lawannya air.
Suasana masa rehat gamat sekali dengan diselan-selikan oleh jeritan para pelajar. Tena mengeluh lemah.
- Apalah nak jadi dengan mereka ni? Dah besar panjang pun nak menjerit-jerit. Histeria je lagaknya.
“Apasal kau nak jumpa aku ni? Cepatlah.” Lamunannya terhenti. Dipandangnya tuan punya suara garau itu.
“Duduklah dulu.” Dia cuba menahan gelora di hatinya.
Didix menarik kerusi dan duduk berhadapan dengannya. Matanya merenung tajam wajah tenang Tena.
“Tena nak tanya sesuatu. Kenapa dengan Didix dua tiga hari ni?” Bicaranya penuh berhati-hati, takut menyinggung perasaan insan di hadapannya itu.
“Kenapa dengan aku? Kalau ada apa-apa pun bukannya ada kaitan dengan kau pun.” Satu sindiran tepat mengena mukanya.
- Sabarlah wahai hati.
“Tena lihat Didix dah tak macam dulu lagi, kenapa? Didix ada masalah ke?” Teknik psikologi amat penting untuk melembutkan hati insan yang tengah diamuk perasaan.
“Siapa kata aku ada masalah? Masalah aku cuma kau.”
Tena tergamam.
“Te…Tena? Apa yang dah Tena lakukan? Kalau Tena ada buat salah, Tena minta maaf.”
“Ceh…buat-buat tak tahu pulak minah ni. Kau fikirlah sendiri, mungkin kita dah tak sehaluan lagi. Sedangkan pantai lagikan berubah, inikan pula manusia kan?”
Tena terkedu mendengar segala kata-kata kasar itu.
- Apa salah ku sehingga aku dituduh sebegini?
“Apa…apa maksud Didix yang Tena dah berubah?”
“Benci aku dengar orang yang kuat berpura-pura ni tau. Tepuk dada tanyalah selera.” Didix melemparkan pandangannya ke arah padang sekolah yang menghijau untuk menyembunyikan segala perasaannya.
“Adakah semua ni kerana Tena menolak ajakan Didix hari tu? Hari tu sangat penting buat Didix ke?”
“Dahlah, Na. Tak usah kita cakap berbunga-bunga lagi. Mulai dari hari ni, kita ikut haluan masing-masing. Anggap je kita tak pernah berkawan.” Terlalu sukar untuk melafazkan kata-kata seberat itu tetapi sengaja dikeraskan hatinya.
“Tapi kenapa?” Dia masih tidak berpuas hati. Adakah semudah itu untuk memutuskan persahabatan yang terbina sekian lama? Putusnya suatu hubungan memerlukan sebab yang pasti.
“Anggap je kita dah tak sehaluan lagi sebagai sahabat atau apapun seperti yang kita anggap selama ini. Lagipun exam dah nak dekat. Tinggal sebulan lagi, kan? Belajarlah dan lupakan Didix. Kita perjuangkan masa depan masing-masing.” Didix berlalu pergi dengan lemah sekali.
- Masa depan? Huh…
Tena terasa bagaikan baru mendengar berita bahawa satu malapetaka buruk akan melanda seluruh hidupnya.
“Dix, tunggu. Adakah Didix sudah jemu menunggu?” Meskipun pedih hatinya, dia tetap bersabar. Air mata yang mula bergenang di kelopak mata ditahannya. Janjinya suatu ketika dahulu telah memakan dirinya.

“Kenapa Na?” Jari-jemari Tena digenggam erat.
“Biarlah masa menentukan segalanya. Tena belum dapat menerima erti percintaan, perpisahan ataupun kekecewaan lagi.” Ditariknya jari-jemarinya dengan lembut.
“Tak semestinya satu kekecewaan menghalang kita dari bermula semula. Semua orang bermula dari kekecewaan, yang penting segala kenangan tidak diungkit kembali dan sentiasa pandang ke hadapan.”
“Cakap senanglah tapi tanpa kita sedar akan ada lebih banyak hati yang akan terluka lagi.” Pandangannya jatuh ke arah sepasang camar yang terbang beriringan.
- Alangkah bahagia hidup ini jika dapat terbang bebas dari semua masalah ini.
“Arghh…katakan saja Na. Katakan Tena masih tak dapat memadamkan nama Joshua dari hati Na tu.” Suaranya jelas kedengaran tegang. Sebiji batu kecil menjadi mangsa lemparannya ke dalam air laut yang tidak henti-henti bergelora itu.
Tena menahan rasa yang semakin mencengkam jiwa.
“Kenapa baru sekarang timbul persoalan itu? Kenapa di saat Tena masih berduka?”
“Ini bukan satu persoalan Na. Ini adalah satu kenyataan. Na, hadapilah kenyataan yang Joshua dah tak ada lagi kat sini. Tena tak nak tahu dia dah sampai mana sekarang dengan perempuan yang menjadi tunangannya sejak kecil itu?” Sinis sungguh dia melemparkan segala kenyataan yang cuba dipertikaikan oleh hati kecil gadis itu.
“Please, tak payahlah diungkitkan lagi segala kenyataan yang kita berdua sudah sedia maklum itu. Semakin diingatkan kembali, semakin dalam luka di hati ini.” Diunjukkan jari telunjuknya ke arah dadanya. Seketika disekanya mutiara jernih yang semakin laju menuruni pipi mulusnya.
“Na, buangkan segala ingatan itu dan mulakan hidup yang baru. Hati ini sanggup menunggu walau seberapa lama pun.”
“Biarlah masa yang menentukannya.”

Masa berlalu dan mula menuntut haknya. Di saat hati mula berbisik, masa jugalah yang akan menentukan hitam putihnya suatu kenyataan.
“Itu sudah tidak menjadi persoalannya sekarang. Yang penting kita tahu hati budi masing-masing. Lupakan segala janji dan jika masa yang Tena harapkan pada suatu ketika, masa jugalah yang akan Didix harapkan pula kali ini.”
Mereka mula menjadi tumpuan rakan-rakan sekelas. Satu adegan yang menarik perhatian mereka.
Tena terus berlari keluar dari kelas itu. Dia berlari tanpa haluan dan akhirnya berkurung di dalam tandas.
Nasib baiklah tandas itu wangi, kalau tak…
Fikirannya masih berserabut menyusun segala kenangan yang pernah tersurat dan masih terngiang-ngiang kata-kata Didix tadi di telinganya. Dia cuba menenteramkan hatinya dengan menangis.
Setelah lama berteleku di situ, dia menguatkan dirinya dan keluar lalu membasuh mukanya yang masih bersisa air mata. Rambutnya yang terlepas dari ikatan diketatkan dan akhirnya langkahnya dihala menuju ke perpustakaan. Dia tidak mahu masuk ke dalam kelas buat masa itu. Biarlah dia bersendirian memendam rasa, ditemani buku-buku di situ.
Hatinya rancak membisikkan kata-kata semangat.
- Masa? Penentu segalanya. Pergilah semua kenangan, pergilah semua janji, pergilah semuanya. Hilanglah kalian bersama-sama masa itu. Aku cuma ingin melihat ke hadapan sahaja mulai dari saat ini. Di sana satu masa sudah menanti – STPM.







10
Seperti yang telah dijanjikan, Miky memandu terus dari Hospital Umum Kuching setelah selesai melakukan rondaan rutin menuju ke banglo keluarganya. Selain bertugas di kliniknya, Miky juga selalu melakukan rondaan rutin terutamanya kepada para pesakitnya yang diserahkan kepada hospital ini setelah menjalani pemeriksaan di kliniknya untuk pemeriksaan selanjutnya sekiranya terdapat sebarang keraguan terhadap tahap kesihatan mereka.
Kedatangannya disambut oleh mamanya yang sedang membersihkan rumput-rumput yang tumbuh meliar di dalam pasu bunga orkid kesayangannya.
“Hai, mama. Sibuk nampak.” Dia menyergah dari belakang.
“Budak ni…kalau tak mengejutkan mama memang tak sah tau.” Mamanya menepuk bahu puteri sulungnya itu.
“Eh,…biasalah mama. Siapa tak kenal anak mama yang sorang ni, Miky namanya.” Dia mencium pipi mamanya penuh manja.
“Dahlah, panjang pulak celoteh si nakal ni tau. Baru balik dari hospital ke?” Puan Diana membasuh tangannya yang kotor itu.
“Taklah, baru keluar dari kereta.”
Jawapan selambanya membuatkan mamanya kegeraman.
“Budak ni…” Puan Diana terus mencucuk pinggangnya. Miky terjerit kecil. En. Charles yang baru sampai dari pejabat terus berjalan menuju ke arah dua beranak itu setelah memarkirkan keretanya.
“Apa yang kecoh-kecoh ni? Hah, Miky. Baru nampak batang hidung?”
“Apalah papa ni. Papa nampak batang hidung je ke, orangnya tak nampak?” Jawapan Miky itu membuatkan mereka bertiga tertawa riang dan tanpa mereka sedari ada mata yang memandang.

Malam itu kecoh banglo Sri Melati dibuat gelak ketawa mereka sekeluarga. Banyak perkara yang dibualkan. Miky dapat merasakan satu perasaan yang harmoni dan bahagia di dalam dirinya ketika itu tetapi di sebalik perasaan itu, dia juga dapat merasakan satu kekurangan.
- Tena.
Hatinya berdetak.
Tena lebih banyak mendiamkan diri dan apabila ditanya dia hanya menggelengkan kepalanya sahaja. Setelah makan malam selesai, dia terus meminta izin untuk masuk ke dalam biliknya. Alasannya, ingin mengulang kaji. Menurut mamanya beberapa hari lepas, Tena sudah mula berubah sikap terhadap papanya. Dia sudah mula berbaik-baik dengan papanya. Hatinya lega setelah mendengar kenyataan mamanya itu tetapi reaksi Tena itu tidak membuktikan kata-kata mamanya itu. Tena menjadi semakin pendiam pada perkiraannya dan dia lebih banyak tersenyum berbanding bercakap.
Malam itu, dia terpaksa bermalam di situ atas desakan mamanya. Pelbagai alasan yang digunakan oleh mamanya untuk memujuknya dan akhirnya dia terpaksa akur. Dia tidak akan sekali-kali mengecewakan hati mamanya.

Usai sahaja mandi, Miky cuba menumpukan perhaiannya kepada novel Kisah Kasih yang masih terletak kemas di dalam rak bukunya. Tumpuannya gagal apabila fikirannya masih ligat memikirkan sikap yang ditunjukkan oleh Tena tadi. Setelah lama mencari dan menilik, akhirnya langkah dihayun menuju ke arah bilik Tena. Pintu bilik Tena diketuknya perlahan.
“Na, boleh Miky masuk?”
“Masuklah.” Tena menjawab acuh tak acuh sahaja.
“Apa yang Tena tengah buat tu?” Miky duduk di atas katil sambil memerhatikan keadaan bilik Tena yang agak bersepah dengan buku-bukunya.
“Apa yang Miky nak?” Tena masih menatap skrin komputernya tanpa memandang ke arah Miky.
“”Kenapa dengan Tena sejak akhir-akhir ni? Mama ada beritahu Miky yang Tena lebih suka mengurungkan diri dalam bilik selepas balik sekolah. Tena sakit atau ada apa-apa masalah ke?”
“Miky peduli apa?” Miky terkedu.
“Miky hanya nak ambil berat. Kenapa Tena macam nak mengelakkan diri sahaja dari Miky? Miky ada buat apa-apa salah ke?”
Tena masih membisu. Matanya tetap ditumpukan ke arah skrin komputernya tetapi fikirannya melayang entah ke mana.
“Miky risau tengok keadaan Na. Tena harus luahkan apa yang terpendam dalam hati Na tu. Jangan sampai pelajaran Na terjejas.” Miky mengelus lembut belakang Tena.
“Sudahlah, Miky. Tena sibuk sekarang ni. Kalau ceramah Miky dah habis, tolong tutup pintu semasa Miky keluar nanti. Tena nak sambung kerja Na ni.”
Miky bangun perlahan-lahan dan melangkah lemah nenuju ke muka pintu. Sebelum keluar, dia sempat menjeling semula ke arah adiknya itu.
“Maafkan Miky kalau Miky ada buat apa-apa salah kat Na. Miky takda niat pun nak sakitkan hati Na. Good night.”
Tena melepaskan pandangannya ke arah pintu setelah mendengar bunyi pintu ditutup. Satu keluhan dilepaskan.
- Dia kan kakak engkau. Sampai hati engkau buat dia macam tu. Berdosa tau!
- Tapi dia…dia bukan kakak kandungku! Mengapa aku mesti melayannya dengan baik sedangkan dialah yang telah merampas kasih sayang papa dan mama.
- Papa dan mama tak pernah berlaku tidak adil dalam mencurahkan kasih sayang mereka.
- Orang tidak nampak tapi Tena dapat rasa!
- Itu hanya mainan perasaan Tena je. Apapun, dia juga seorang insan. Dia telah banyak berjasa kepada engkau. Engkau lansung tidak mengenang budinya. Engkau memang berdosa kepadanya!
- Dia hanya berpura-pura. Dia pembohong yang licik.
- Mana kau tahu semua itu? Dia tidak pernah menyakitkan hati engkau pun.
Hatinya berbolak-balik. Tanpa disedarinya, mutiara jernih mula bergenangan di kelopak matanya. Dia cuba menahan tetapi dia tidak berdaya. Akhirnya, dia kalah dengan perasaannya sendiri.
- Maafkan Tena, Miky. Aku tidak dapat menidakkan kehadiran kau dalam keluarga ini tetapi aku juga tidak berjaya menerima kau di dalam hidupku. Biarlah masa yang menentukan segalanya. Pada masa itu nanti, aku pasrah.
Keesokan paginya, Miky bersiap awal untuk balik ke rumahnya tetapi hasratnya terhalang lagi dek mamanya yang sudah awal-awal lagi sudah merancang jadual anaknya untuk hari itu.
“Ma, Miky nak balik sekarang. Nanti si Ryn dan Ni tercari-cari Miky pulak.”
“Tunggulah sekejap. Mama dah call mereka pagi tadi lagi suruh datang sini. Mereka kata tengahari nanti mereka sampai. Mama nak Miky tolong mama masak hari ni, lagipun Miky tak kerja kan hari ni?” Mamanya terus duduk menghadapnya.
“Tapi ma…” Digaru kepalanya yang tidak gatal itu.
“Tak ada tapi-tapi lagi. Dahlah, pergi mandi. Badan pun dah bau semacam je tu.” Mama melontarkan tuala kepada Miky yang masih duduk berteleku di atas katilnya. Dia tidak sempat mandi kerana awal-awal lagi sudah dikejutkan oleh rancangan mamanya itu.
“Bijak betul mama ni ye.”
“Eh, tengok oranglah dulu. Dah…dah pergi mandi. Bau hangit semacam je.”
“Mana ada. Wangi apa?” Dia sengaja menunjukkan ketiaknya ke arah mamanya.
Mamanya tergelak.
“Mama ni, tak habis-habis nak mengenakan Miky tau.” Dia terus berlalu ke bilik air dan menggosok giginya.
“Miky nak makan apa nanti? Mama nak masak special hari ni. Lagipun si Ryn dan Yani tu dah lama tak merasa air tangan mama ni. Mereka kata nak ajak si Mick sekali.”
Miky menunjukkan mulutnya yang masih berbuih ubat gigi itu. Mamanya ketawa lagi sambil terus berlalu pergi ke bilik Tena.

Cahaya matahari pagi mula menunjukkan muka dan menyinari alam, menyelubungi cahaya malam. Cahaya kuning keemasan itu amat berharga jika dapat dinikmati oleh setiap insan. Bunyi kenderaan lalu-lalang juga mula kedengaran, semua menuju ke destinasi yang tentunya berbeza. Hari baru sudah bermula. Satu lagi hari yang harus ditempuhi oleh setiap orang yang berjuang meneruskan hidup.

No comments:

Post a Comment