Tuesday, September 21, 2010

Kisah Aku dan Dia

Edisi 1 Kisah Aku dan Dia
Di mana patut ku mulakan coretan kenangan ini? Catatan hidupku yang akan menjadi kenangan selamanya.
Biarlah ku mulakan dengan pertemuan buat pertama kalinya...
Program Kecermelangan Anak Angkat BAKTI...di situlah bermulanya detik-detik perkenalan kami.
Orangnya sangat pendiam dan tidak begitu mesra ketika mula-mula bertentang mata. Senyumannya yang penuh hambar sedikit mencabar jiwa aku ketika itu. Ceh...
Dia yang keseorangan di samping kami empat sekawan disebabkan perbezaan sekolah mungkin membataskan pergaulannya. Dia duduk di satu sudut di dalam sebuah bilik mesyuarat dengan ditemani hanya cikgu sekolahnya sedangkan kami semua ditemani ibu bapa. Raut wajahnya yang polos membuatkan kami semua menyangkakan dia seorang yang sombong dan skema. Hahaha...bodoh betul kami ketika itu kerana cepat sangat membuat kesimpulan.
Kami mula memperkenalkan diri masing-masing di dalam mesyuarat bersama YB itu dan kami dimaklumkan bahawa kami akan mewakili bahagian Kuching di dalam program yang akan dijalankan nanti. Alangkah bangganya hati ini kerana peluang sebegini tidak akan datang bergolek setiap kali. Terdetik juga di dalam hati kecilku, wah si dia semestinya ‘top student’di sekolahnya kerana dia seorang sahaja wakil dari situ. Tercabar pula rasa jiwa ketika memikirkan fakta awal itu.
Ketiadaan seorang kawanku membuatkan kami ditempatkan sebilik di sebuah hotel semasa program selama 4 hari 3 malam itu. Ibunya seorang yang sangat peramah dan dialah yang telah merapatkan kami. Dialah yang memperkenalkan anaknya itu kepada ku sementara dia lebih banyak berdiam. Mungkin ibunya kasihankan aku yang juga keseorangan di situ dan dia bertindak sebagai penyelamatku. Untuk itu aku berterimakasih kepadanya. Aku memang hampir terkontang-kanting ketika ditinggalkan di situ keseorangan. Walaupun pengalaman berdikari sudah banyak ku tempuhi tetapi hati kecilku tetap sama seperti budak-budak berumur 16 tahun yang lain. Jiwaku yang masih muda tetap lara ketika ditinggalkan keseorangan.
Hari pertama ku rasakan amat kekok kerana aku tidak biasa bersama orang yang tidak ku kenali dengan rapat. Butir-butir perbualan kami hanya berkisar kepada topik-topik biasa seperti cerita persekolahan dan kampung. Tiada lagi kisah-kisah peribadi yang berani dibongkarkan. Kekekokan ku ditambah lagi dengan ketidakbiasaanku berkawan rapat dengan budak-budak perempuan di sekolahku. Kawan-kawanku biasanya terdiri daripada budak-budak lelaki. Kawan-kawan rapatku yang sama jantina hanya sekerat sahaja. Aku susah untuk berkawan lama dengan mereka kerana sikap dan sifat mereka yang sensitif dan lemah lembut sementara aku seorang yang berperwatakan kasar. Bergaduh dan bertumbuk sudah menjadi kebiasaan bagiku sementara dia ku lihat seperti tidak pernah berperang mulut sekali pun. Sungguh berbeza sekali sifat kami rupanya...
Hari berganti hari,program itu berjalan dengan lancarnya. Hubungan kami pula semakin rapat. Tidak pernah ku sangka, dalam masa 3 hari aku sudah boleh bergelak ketawa dengannya. Pelbagai cerita lucu kami berempat alami di situ seperti tersesat bilik sehingga kami terpaksa naik ke setiap tingkat untuk mengenalpasti bilik kami yang sepatutnya. Kami juga takut untuk naik lif apabila hanya berdua kerana takut tersesat dan kami sanggup menaiki tangga untuk sampai ke bilik persidangan yang menjadi tempat program dijalankan.
Ramai yang mengatakan kami budak kecil kerana saiz kami yang paling kecil di situ dan mereka seringkali terkeliru nama di antara aku dan dia. Nasib kami pula mampu membuatkan sesiapa yang mendengar ceritera kami tergelak. Kami telah diberikan 2 helai baju program setiap seorang tetapi bersaiz ‘L’. Ketika program berjalan, kami terpaksa menggunakan baju tersebut dan kami seolah-olah memakai ‘mini dress’ pula. Hahaha. Alangkah kerdilnya kami rasakan ketika itu.
Namun aku masih boleh dibezakan dengan dia. Ibu angkat kami dalam program itu terang-terangan menasihatkan aku seorang sahaja supaya belajar baik-baik dan supaya tidak nakal-nakal. Alamak, walaupan baru pertama kali berjumpa tetapi beliau seperti sudah sedia maklum akan sikapku yang berbeza sekali dengan si dia. Mungkin sifatku yang suka berceloteh itu telah menarik perhatian ibu angkat kami itu dan beliau bimbang aku tidak akan menumpukan perhatian semasa program dijalankan. Aku hanya mampu mengangguk sambil tersenyum kelucuan. Si dia pula hanya diucapkan tahniah kerana terpilih dan dinasihatkan supaya menimba sebanyak mana pengalaman dan ilmu semasa di situ sama seperti kawan-kawanku yang dua orang lagi. Awal-awal lagi aku sudah dicop sebagai budak nakal jika dibandingkan dengan si dia. Masalah betul...
Pelbagai cerita kami luahkan, pelbagai kisah kami ungkapkan sehinggalah hari terakhir di mana kami saling bertukar nombor telefon untuk terus berhubung.
Ku sangkakan hanya sampai di situ perhubungan kami, sama seperti kisahku yang sebelum ini di mana selepas setiap program kami saling berjanji untuk berhubung tetapi lama kelamaan janji itu akan dilupakan tetapi jangkaan ku ternyata silap. Kisah aku dan dia diteruskan...






Edisi 2 Kisah Aku dan Dia
Melangkah masuk ke tingkatan lima merupakan detik yang sungguh mendebarkan. Pada tahun itulah arah tuju kehidupanku akan ditentukan.Dengan jadual yang semakin padat ditambah lagi dengan tugas sebagai pengawas sekolah membataskan masa ku untuk keluar dan berhubung dengan si dia. Sesekali bertemu juga kami di bandar dan senyuman serta sapaan ringkas menjadi mukadimah pertemuan singkat itu.
Program itu sekali lagi telah dijalankan tetapi pada kali itu kami hadir dengan imej sebagai senior kepada peserta-peserta baru. Wah...bangga juga ketika diumumkan sebagai pelajar senior.
Kehadiran temanku menjadikan kami terpaksa tinggal di bilik yang berlainan, tidak sama seperti yang lepas. Perkara itu sebaliknya tidak merenggangkan hubungan yang baru bermula sebaliknya merapatkan lagi kami semua. Dia semakin selesa berada di dalam kumpulan kami. Dia sudah mula bergelak ketawa dan berbual mesra dengan semua orang, tidak seperti mula-mula kami berkenalan.
Setelah lama berbual, seperti yang kami jangkakan, dia adalah ‘top student’ di sekolahnya setelah kami menemubual junior dari sekolahnya. Kenyataan itu tidak membuatkan dia sombong sebaliknya dia hanya tersenyum dan menafikannya dengan penuh kelembutan.
Walaupun masa kali itu singkat, hubungan yang terjalin semakin erat. Janji penuh makna dimeteraikan pada kali itu untuk terus berhubung.
Program itu berakhir dengan penuh keceriaan. Aku pulang dengan imej nakal di mata rakan-rakan lama dan baru sementara si dia masih dengan imej lemah lembutnya. Sebelum itu, kami sebagai pelajar senior melaksanakan tugas kecil yang seharusnya kami laksanakan dengan menberi kata-kata semangat kepada para junior untuk terus berusaha dan mencapai keputusan yang cemerlang sementara mereka semua pula mendoakan kejayaan kami dalam peperiksaan besar yang akan kami hadapi nanti. Ditambah pula dengan episod air mata dan peluk-memeluk...
Hari berganti hari. Borang melanjutkan pelajaran sudah sedia diisi dan dihantar. Si dia sentiasa berhubung dengan kami semasa proses itu. Kami membuat keputusan untuk memohon tempat yang sama untuk meneruskan perjuangan dalam dunia akademik.
Hati kami semakin berdebar-debar menantikan detik-detik terakhir sebelum menamatkan zaman persekolahan iaitu minggu peperiksaan. Usaha yang berlipat kali ganda kami curahkan. Masa yang terluang diisi dengan menelaah dan berbincang dengan rakan-rakan. Penatnya...
Masa yang ditunggu telah sampai. Kertas demi kertas kami hadapi dengan doa dan harapan ahli keluarga. Setiap detik yang berlalu bagaikan sebatang demi sebatang duri yang tercucuk di badan dicabut. Leganya...
Kertas terakhir kami akhiri dengan jeritan kegembiraan dan jamuan perpisahan. Semua orang mengambil masa yang ada untuk berbual panjang dan bergembira beramai-ramai kerana itu mungkin merupakan masa terakhir untuk bertemu. Aku juga tidak ketinggalan. Jamuan perpisahan kami berlangsung dengan penuh keceriaan dan kami mengambil peluang yang tersedia untuk membalas dendam kepada mana-mana rakan yang selalu bertekak dan bergaduh dengan kami sepanjang masa kami di dalam kelas yang sama. Rambut dan mukaku juga kena teruk pada masa itu...
Si dia sempat mengutuskan khabar mengenai keadaannya yang sama sepeti kami semua pada saat-saat penuh kelegaan itu.
Cuti panjang yang datang tidak membataskan perhubungan di antara aku dan dia. Kami terus berhubung di kala kesunyian. Teman amat diperlukan pada ketika itu untuk mengisi waktu yang sangat panjang...
Penantian kami berakhir dengan pengumuman keputusan peperiksaan. Syukur, keputusan yang ku perolehi setanding dengan apa yang telah ku usahakan walaupun tidaklah sehebat temanku yang lain yang mendapat keputusan terbaik di antara kami semua. Si dia juga mendapat keputusan yang hampir sama denganku dan seperti yang kami selalu jangkakan, dia mendapat keputusan yang terbaik berbanding rakan-rakannya yang lain. Seperti telah dirancangkan pula...
Jodoh pertemuan kami bukan berakhir di situ sahaja. Perjalanan hidup antara aku dan dia masih diteruskan tetapi dalam rencana yang lain pula. Kisah aku dan dia diteruskan lagi...